Zahid Hamidi Angkat Pendidikan Orang Muda Sabah

TAWAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan pembangunan lebih agresif di kawasan DUN Sebatik, Kukusan, Tanjung Batu, Apas dan Balung, sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI yang memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup rakyat Sabah.

Menurutnya, pembangunan yang dirancang BN bukan sekadar projek fizikal, tetapi merangkumi pembaharuan menyeluruh termasuk peluang pekerjaan, kemahiran anak muda, infrastruktur asas dan pembukaan ruang ekonomi baharu.

“Sabah tidak boleh terus berada di belakang dalam arus kemajuan. Rakyat negeri ini berhak menikmati pembangunan setara dengan negeri-negeri maju lain,” katanya.

Zahid berkata prestasi setiap ADUN BN yang menang kelak akan dipantau bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kekal konsisten dan berkualiti.

Ia sekali gus mengelakkan mana-mana kawasan daripada tercicir dalam pembangunan nasional.

Beliau turut menjelaskan cadangan menjadikan Tawau sebagai pusat TVET baharu di Sabah merupakan strategi utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang industri yang mempunyai permintaan besar.

Katanya, kadar pengangguran Sabah yang mencecah 20% menjadikan pengukuhan institusi TVET, pemodenan latihan kemahiran dan pembukaan laluan kerjaya sebagai keutamaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Hadir sama, ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir yang menyatakan sokongan penuh terhadap agenda Zahid, terutama dalam peningkatan kemahiran golongan muda.

“Cadangan menjadikan Tawau hab TVET adalah langkah besar yang memberi peluang lebih luas kepada orang muda untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Zahid menegaskan TVET kini bukan lagi pilihan sampingan, sebaliknya laluan penting bagi membina tenaga kerja kompetitif, menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Sabah mempunyai potensi besar, dan kita akan pastikan potensi ini dimaksimumkan sepenuhnya.

“Demi Rakyat, Demi Sabah.” katanya.

BBerkaitan

Latest articles