Nak Bincang Kahwin, Tapi Sembunyi Dalam Tandas – Janda, Kekasih Indonesia Dicekup Khalwat

JOHOR BAHRU: Alasan seorang janda bahawa dia hanya ingin “berbincang soal perkahwinan” dengan kekasih warga Indonesia terbongkar apabila kedua-duanya dicekup berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di bandar raya ini awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), serbuan dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi dan mengambil masa hampir lima minit sebelum pintu bilik dibuka oleh wanita berusia lingkungan 30-an itu.

Keadaan di dalam bilik gelap, dan ketika lampu dinyalakan, penguat kuasa menemui seorang kanak-kanak iaitu anak wanita berkenaan sedang tidur di atas lantai beralaskan tilam nipis.

Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki berusia 20-an bersembunyi di dalam tandas yang dikunci daripada dalam.

Setelah dipanggil beberapa kali, pintu akhirnya dibuka tiga minit kemudian, dan lelaki itu keluar dalam keadaan gelabah, hanya memakai t-shirt dan seluar panjang.

Pasangan itu kemudian mengaku mereka adalah kekasih dan merancang untuk bernikah dalam masa terdekat.

Wanita terbabit bekerja di Johor Bahru, manakala lelaki warga Indonesia itu bekerja di sebuah pasar di bandar sama.

Bilik hotel tersebut turut disewa atas nama wanita.

Bagaimanapun, alasan mereka datang ke hotel untuk “membincangkan urusan perkahwinan” tidak diterima penguat kuasa.

“Kalau betul nak bincang, kedai mamak 24 jam pun ada. Tak perlu masuk bilik hotel,” tegas JAINJ dalam kenyataan.

Penguat kuasa turut menemui pakaian dalam wanita di bilik air, sekali gus menambah kesangsian terhadap alasan diberi.

JAINJ menasihatkan lelaki berkenaan supaya menjaga akhlak ketika mencari rezeki di negara orang dan mengelakkan perlakuan maksiat.

Kedua-duanya ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles