KUALA LUMPUR: Skandal 1MDB memasuki episod baharu apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan kakak kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) serta sekutunya membayar ganti rugi berjumlah AS$2.7 bilion (RM11.6 bilion) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya.
Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan Eric Tan Kim Loong perlu membayar keseluruhan AS$2.7 bilion, manakala Low May Lin diperintah menjelaskan AS$809,000 selain kos RM500,000 selepas mahkamah membenarkan penghakiman ingkar terhadap kedua-duanya.
Menurut keputusan yang dibacakan, hakim mendapati kedua-dua defendan terbukti menyembunyikan kegiatan penyelewengan dan menerima manfaat besar daripada dana yang dialihkan secara salah melalui rangkaian entiti dikawal Jho Low, termasuk Good Star.
May Lin dikatakan menerima lebih AS$809,000 terus ke akaun peribadinya melalui empat transaksi daripada bapanya, Tan Sri Larry Low, tanpa alasan komersial yang sah.
Sementara itu, Eric Tan pula disahkan sebagai pemilik benefisial akaun luar pesisir Alsen Chance dan Blackstone, yang menjadi saluran utama pembolehan aliran masuk AS$2.79 bilion dana 1MDB yang dicuci.
Hakim Mahazan turut menegaskan keterangan saksi termasuk bekas CFO 1MDB, Azmi Tahir dan pakar pemulihan aset antarabangsa, Angela Buckhouse serta Richard Templeman disokong sepenuhnya oleh rekod bank, carta aliran dana dan dokumen korporat yang tidak dicabar.
Beliau menyatakan bahawa walaupun Jho Low tidak pernah memegang jawatan rasmi, beliau bertindak sebagai ‘pengarah bayangan’ kepada Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu memegang kuasa de facto melalui Artikel 117 dalam perlembagaan syarikat.
Penyataan tuntutan 1MDB mendedahkan bahawa syarikat itu telah dimanipulasi oleh Jho Low, Najib dan beberapa individu lain bagi melaksanakan penipuan besar-besaran sehingga mengakibatkan berbilion ringgit hilang melalui pecah amanah dan pelanggaran tugas fidusiari.
Dana yang sepatutnya digunakan untuk projek nasional itu dipercayai dialihkan secara sistematik ke struktur luar pesisir yang dikawal Jho Low dan sekutunya, sebelum dilesapkan.










