ISKANDAR PUTERI: Seorang wanita berusia 25 tahun sanggup mereka-reka cerita kononnya dirogol dan dipaksa melakukan seks luar tabii oleh seorang pemandu e-hailing di Kangkar Pulai semata-mata kerana takut dimarahi ibunya selepas pulang lewat.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, laporan dibuat wanita itu pada 10.27 pagi kelmarin, mendakwa kejadian berlaku sehari sebelumnya di dalam sebuah kereta di Jalan Pulai Perdana.
Namun siasatan polis berjaya membongkar helah tersebut apabila wanita berkenaan akhirnya mengaku bahawa kejadian itu tidak pernah berlaku dan segala dakwaan terhadap pemandu Grab berkenaan adalah palsu.
“Pengadu mengaku mereka-reka cerita akibat dimarahi keluarga kerana pulang lewat. Polis mengesahkan pemandu e-hailing itu tidak terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan menegaskan tindakan membuat laporan palsu, lebih-lebih lagi membabitkan tuduhan serius seperti rogol, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan siasatan terhadap mangsa sebenar.
Beliau turut mengingatkan bahawa membuat laporan palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum enam bulan penjara, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Tenaga dan masa penyiasat sepatutnya digunakan untuk membantu mangsa jenayah sebenar, bukannya dibazirkan dengan laporan yang dibuat bagi menutup masalah peribadi,” katanya.










