KOTA KINABALU: Seramai 24,426 pengundi awal di seluruh Sabah mula memenuhi pusat pengundian seawal jam 8 pagi hari ini bagi memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Daripada jumlah itu, 11,697 terdiri daripada anggota tentera bersama pasangan, manakala 12,729 lagi ialah anggota polis dan pasangan mereka.
Keseluruhan proses berlangsung di 58 pusat pengundian awal yang dibuka di seluruh negeri, termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, ibu pejabat polis daerah serta kem-kem tentera.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca hari ini dijangka tidak menentu dengan hujan serta ribut petir diramalkan berlaku di beberapa kawasan, namun ia dijangka tidak menjejaskan perjalanan pengundian awal.
Kertas undi yang diterima hari ini tidak akan dikira serta-merta, sebaliknya proses pengiraan hanya akan dijalankan pada hari pengundian rasmi pada 29 November ini.
Selesainya undian awal hari ini, perhatian kini tertumpu kepada hari pengundian Sabtu ini, dengan tempoh kempen yang bermula sejak 15 November akan melabuhkan tirainya pada jam 11.59 malam Jumaat.
PRN Sabah ke-17 merekodkan saingan sengit melibatkan 596 calon yang berebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk 74 calon Bebas yang bertanding tanpa parti.










