KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah tidak lagi dibenarkan memiliki akaun media sosial sendiri bermula tahun depan, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, keputusan tegas itu dibuat Kabinet sebagai langkah menyeluruh untuk mengekang jenayah siber merentas usia, termasuk ancaman pemangsa seksual atau pedofil yang semakin membimbangkan.
“Larangan ini dilaksanakan melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia. Kita mahu pastikan kanak-kanak tidak terus terdedah kepada risiko di dunia digital,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, hari ini.
Fahmi menegaskan kerajaan berharap semua platform media sosial mematuhi ketetapan baharu itu seawal tahun depan.
“Ini keputusan Kabinet. Kita mahu platform-platform ini akur dan melaksanakan pelarasan sewajarnya,” katanya.
Kerajaan juga sedang meneliti model had umur seperti yang digunapakai beberapa negara termasuk Australia, terutama dari aspek mekanisme pengesahan pengguna.
Antara kaedah utama yang bakal digunakan ialah sistem pengesahan identiti elektronik (eKYC), di mana pengguna perlu mengesahkan identiti menggunakan dokumen seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
“Kita jangka dalam tempoh setahun, platform-platform media sosial akan dapat laksanakan pengesahan ini,” jelas Fahmi.
Fahmi turut menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, agensi kerajaan dan penguat kuasa bekerjasama memastikan internet di Malaysia bukan sahaja luas, laju dan mampu milik, tetapi yang paling penting selamat.
“Kalau semua pihak main peranan, kita dapat lindungi keluarga dan kanak-kanak daripada risiko dunia digital,” katanya.










