Momentum Positif Untuk Mohd Zharif – Teruskan Legasi Arwah Bapa Di Sekong

SANDAKAN: Selepas lebih seminggu giat turun padang sejak hari penamaan calon, penerimaan pengundi terhadap calon muda Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Mohd Zharif Aizat Samsudin dilihat semakin meningkat.

Mohd Zharif berkata, sokongan penduduk terutama di kawasan pesisir semakin kukuh sejak namanya diumumkan sebagai calon, malah beliau tidak berhenti berkempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

Menurutnya, ramai penduduk masih mengingati jasa arwah bapanya, Datuk Samsudin Yahya, yang pernah menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum 2018.

“Saya sangat tersentuh apabila ramai masih menyebut sumbangan arwah bapa. Jika diberi mandat, saya mahu meneruskan semua perancangan beliau yang tergendala,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra bersama komuniti Tionghua di Taman Mawar hari ini.

Antara projek yang ingin dihidupkan semula ialah penyambungan bekalan air bersih di Bambangan, yang menurutnya telah diluluskan sebelum ini tetapi tidak diteruskan selepas kekalahan arwah bapanya.

Mohd Zharif turut menekankan bahawa isu asas seperti air dan elektrik perlu diselesaikan segera bagi memastikan Sekong yang dikenali sebagai kawasan perindustrian mampu menarik pelabur.

“Sekong ada potensi besar sebagai hub industri. Tapi kalau bekalan air dan elektrik tidak stabil, pelabur pun akan ragu-ragu untuk masuk,” katanya.

Mengulas pendekatan untuk meraih sokongan pengundi belia, Mohd Zharif berkata beliau menggunakan pengalaman lima tahun terlibat dalam NGO belia untuk mendekati golongan muda.

“Saya sendiri orang muda. Selama ini saya bersama mereka dalam aktiviti sukan, program masjid, kuliah ilmu, termasuk bola tampar. Itu lebih penting daripada sekadar hadir sekali-sekala,” jelasnya.

Beliau optimis bahawa hubungan rapat dengan masyarakat setempat dan fokus terhadap isu asas memberi keyakinan kepada pengundi menjelang hari pembuangan undi.

BBerkaitan

Latest articles