BN Kenakan Penalti RM50 Juta Jika Adun Lompat Parti

KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) menetapkan penalti RM50 juta serta tindakan mahkamah terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu yang bertindak melompat parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua calon telah menandatangani aku janji bagi mengelakkan pengulangan insiden lompat parti yang pernah menggugat kestabilan politik negeri sebelum ini.

Menurut Zahid, meskipun Akta Lompat Parti kini berkuat kuasa dan dijangka menghalang tindakan sedemikian, BN tetap mengambil langkah pencegahan dengan mengenakan denda ketat bagi memastikan mandat rakyat dihormati.

“Kita harus belajar daripada kesilapan lalu. Apa yang berlaku sebelum ini tidak boleh berulang,” katanya ketika berucap pada program Jelajah TVET di Dataran Kinabatangan.

Timbalan Perdana Menteri itu turut mengingatkan 45 calon BN yang bertanding supaya bekerja keras bagi memastikan parti kembali dominan di Sabah.

Beliau berkata rakyat negeri itu mahu melihat BN dan Umno kembali mentadbir selepas 29 November, sambil memberi jaminan pembangunan menyeluruh akan dibawa ke kawasan seperti Kinabatangan, Lamag dan Sukau.

“Sebagai menteri kemajuan desa dan wilayah, tanggungjawab saya adalah memastikan kawasan kampung dan luar bandar termasuk Kinabatangan terus dimajukan, bukan sekadar isu jalan, elektrik dan air,” katanya.

Pada Mei 2023, DUN Sabah meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi mewujudkan larangan Adun bertukar parti. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 November sebagai hari pengundian awal, manakala hari mengundi PRN Sabah ke-17 ialah pada 29 November.

BBerkaitan

Latest articles