Anwar Nafi Campur Tangan Malaysia Dalam Konflik Thailand–Kemboja, Hanya Pemudah Cara

JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak pernah mencampuri urusan Thailand dalam menangani pertikaiannya dengan Kemboja.

Penjelasan itu dibuat susulan tindakan sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan Kedutaan Malaysia di Bangkok, semalam, yang mendakwa Anwar dalam kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN telah mengganggu usaha Thailand mempertahankan kedaulatannya.

Menurut Anwar, Malaysia hanya berperanan sebagai pemudah cara bagi memastikan kedua-dua negara menyelesaikan konflik secara damai, termasuk membantu mengatur pertemuan ketua angkatan tentera serta komunikasi antara kementerian luar kedua-dua pihak.

Anwar berkata, beliau turut menghubungi kedua-dua perdana menteri Thailand dan Kemboja untuk membuka ruang dialog, sebelum mereka sendiri menetapkan parameter perbincangan.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Malaysia atau Amerika Syarikat memberi tekanan tidak wajar terhadap Bangkok, sambil menegaskan keputusan sepenuhnya terletak kepada kedua-dua negara itu.

Walaupun Perjanjian Damai Kuala Lumpur dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini, hubungan Thailand–Kemboja kembali tegang berikutan insiden pertempuran sempadan pada 12 November.

Malaysia telah menawarkan menjadi tuan rumah rundingan susulan sebagai wilayah berkecuali.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang kini berada di Afrika Selatan untuk Sidang Kemuncak Pemimpin G20 memaklumkan bahawa Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mencadangkan penganjuran persidangan pembangunan semula Gaza dan menjemput Malaysia sebagai penaja bersama.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar sebelum memberikan kata putus, sambil menambah bahawa kerja-kerja pemulihan seharusnya diterajui negara Arab atau jiran terdekat yang lebih bersedia melaksanakannya dengan cekap.

BBerkaitan

Latest articles