SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan berhasrat menubuhkan sebuah kolej Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) baharu di Sandakan bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap pendidikan kemahiran lanjutan di Sabah.
Cadangan itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyifatkan keperluan institusi tersebut sebagai kritikal selepas sektor perkayuan di daerah itu semakin merosot.
Menurut beliau, Sabah kini hanya memiliki sebuah Institut Kemahiran MARA (IKM) di Kota Kinabalu serta 24 pusat GiatMARA, angka yang dianggap tidak mencukupi untuk menampung keperluan latihan kemahiran anak muda negeri itu.
“Sandakan sangat memerlukan sebuah kolej TVET berstatus tinggi, dan KKDW bersama MARA berpandangan bahawa kursus lanjutan wajar diwujudkan di sini,” katanya ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa di Dewan Sibuga Jaya, Batu 8.
Ahmad Zahid menjelaskan, penubuhan kolej TVET tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada belia tempatan untuk mendapatkan latihan berkualiti tanpa perlu berhijrah ke Semenanjung, malah mampu membuka lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi.
“Satu daripada lima penganggur di Malaysia datang dari Sabah. Keadaan ini mesti ditangani segera. Dengan kolej TVET, akan wujud lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji premium,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan institusi itu dan menyatakan bahawa pengumuman rasmi mengenai penubuhannya dijangka dibuat selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).










