KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) mewakili PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan, secara rasmi menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah, sekali gus menamatkan polemik yang tercetus sejak hari penamaan calon.
Perkara itu disahkan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, yang menghormati keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan bertanggungjawab selepas mengambil kira kepentingan hubungan antara parti komponen PH dan rakan kerjasama politik di Sabah.
“Keputusan ini dibuat atas kehendak beliau sendiri, tanpa tekanan luar. Keutamaan kami adalah semangat setiakawan dan memastikan kestabilan politik Sabah kekal terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha turut mendedahkan bahawa meskipun tidak bertanding, Abdul Halim memberi jaminan akan terus berkhidmat kepada penduduk Silam dan Lahad Datu dalam pelbagai kapasiti.
PKR Sabah menghargai komitmen beliau yang disifatkan sebagai konsisten dan tidak pernah luntur demi rakyat Sabah.
Kerusi DUN Silam menjadi tumpuan apabila Abdul Halim sebelum ini menyerahkan borang pencalonan pada saat-saat akhir, menyebabkan pertembungan tidak dirancang dengan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tindakan itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan kepimpinan GRS yang mendakwa ia melanggar persetujuan awal antara kedua-dua parti.
Dengan pengumuman terbaharu ini, persaingan di Silam kini kembali kepada lapan penjuru membabitkan calon daripada GRS, Warisan, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Damai Sabah (SPP), Parti Impian Sabah (PIS), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta seorang calon Bebas.
Pada PRN-16 lalu, kerusi itu ketika masih dikenali sebagai DUN Lahad Datu dimenangi calon Warisan, Dumi Pg Masdal, dengan majoriti 1,542 undi dalam pertembangan enam penjuru.










