Lapan Termasuk Warga UK, Thailand Didakwa Edar 247kg Ganja, Berdepan Hukuman Mati

GEORGE TOWN: Lapan individu termasuk seorang lelaki warga United Kingdom dan seorang wanita Thailand berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar 247.7 kilogram ganja awal bulan ini.

Kesemua tertuduh – Muhammad Nur Nor Hisham, 30; Mohamad Hafiz Mohd Zaini, 24; Mohamad Amirul Fazrin Md Kamil, 31; Mohamad Faris Irzain Bidin, 20; Syazriel Aiman Shah Ceronnizam, 20; Muhammad Faris ‘Arimi Suzi, 26; Naveed Hussain, 37 (warga UK); dan Miss Nursamira Hayeemaha, 37 (warga Thailand) hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengedar 247,700 gram kanabis di sebuah rumah di Lorong Camelia 5 pada jam 12.30 tengah malam, 5 November lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli mengendalikan kes, manakala empat tertuduh iaitu Mohamad Faris Irzain, Syazriel Aiman, Muhammad Faris dan Miss Nursamira diwakili peguam Ramkarpal Singh.

Mahkamah turut menolak permohonan jamin bagi semua tertuduh dan menetapkan 19 Disember sebagai tarikh sebutan seterusnya untuk serahan laporan kimia.

Kes pendakwaan ini susulan kejayaan polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM8.7 juta minggu lalu.

Dalam serbuan pertama di sebuah inap
desa di Perda, enam suspek diberkas bersama sejumlah besar bunga ganja yang dijadikan stok penyimpanan dan pembungkusan semula.

Serbuan susulan kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dan isterinya warga Thailand, dipercayai dalang utama sindiket tersebut.

Semua tertuduh dibicarakan di Mahkamah Tinggi selepas melengkapkan proses pendakwaan awal.

BBerkaitan

Latest articles