KUALA LUMPUR: Walaupun status kemasukannya semula ke dalam UMNO masih belum diputuskan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan beliau akan hadir ke Sabah bagi membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata kehadirannya ke negeri berkenaan adalah atas jemputan rakan-rakan lama dalam Pemuda UMNO dan BN yang masih aktif berjuang di peringkat akar umbi.
Khairy atau KJ memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas menyertai Larian Keluarga Malaysia 2025, yang turut disertai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ya, saya akan turun. Saya menerima jemputan daripada kawan-kawan yang pernah bersama saya dalam Pemuda dahulu,” katanya ringkas.
Namun, ketika ditanya mengenai kemungkinan kembali menyertai UMNO, Khairy sekadar menjawab bahawa beliau belum menerima sebarang makluman daripada parti.
Terdahulu, khabar angin bertiup kencang bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau itu bakal kembali ke pangkuan UMNO selepas dikatakan menerima isyarat restu daripada pimpinan tertinggi parti, termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut sumber, perkara itu disampaikan kepada Khairy ketika beliau menghadiri majlis perkahwinan anak Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis pada 26 Oktober lalu.
Sumber sama turut menjangkakan KJ akan memainkan peranan penting membantu kempen BN di Sabah memandangkan ramai calon parti merupakan generasi seangkatannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memaklumkan lebih 3,000 peserta mengambil bahagian dalam Larian Keluarga Malaysia 2025 bagi mengumpul dana tambahan untuk Yayasan Keluarga Malaysia.
Kutipan dana itu, jelasnya, bertujuan membiayai pendidikan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 sehingga mereka menamatkan pengajian di universiti.










