Gobind Tempelak Pembangkang, “Baca Dulu Sebelum Persoal Kedaulatan Digital Negara”

KUALA LUMPUR: Menteri Digital, Gobind Singh Deo menempelak dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Amerika Syarikat–Malaysia akan menjejaskan kedaulatan digital negara.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Fadhli membangkitkan kebimbangan bahawa Malaysia mungkin menjadi “makmal algoritma” kepada syarikat gergasi teknologi Lembah Silikon susulan ART.

Namun, kenyataan itu disangkal oleh Gobind yang menegaskan kerajaan tidak pernah menggadaikan kedaulatan digital Malaysia.

“Pasir Mas, tolong baca artikel dalam perjanjian itu dengan teliti. ART bukan perjanjian yang menyerahkan kuasa kepada pihak luar. Kami di pihak kerajaan tahu apa yang kami lakukan,” katanya dengan nada tegas.

Gobind menjelaskan, semua aspek berkaitan ART telah diperhalusi di peringkat Jemaah Menteri dan kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan negara dalam setiap rundingan.

“Perkara ini dibincang berkali-kali. Jangan ulang persoalan sama tanpa asas,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa tiada perbincangan mengenai ASEAN AI Safety Network (ASEAN AI Safe), sambil menjelaskan Malaysia memainkan peranan utama dalam penubuhan rangkaian itu yang bakal beribu pejabat di Kuala Lumpur.

“Setiap tahun, kita berbincang dengan menteri-menteri digital ASEAN bagi memperkukuh keselamatan dan etika AI di rantau ini. Tolong faham, politik ada batasnya, kami mahu bina negara, bukan cari gaduh,” katanya.

Untuk rekod, ASEAN AI Safe ialah mekanisme serantau diterajui Malaysia bagi menyelaras usaha keselamatan AI, memperkukuh kerjasama penyelidikan serta menyokong penggunaan teknologi AI yang selamat di Asia Tenggara.

Sebelum itu, Gobind turut menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen mengenai strategi kerajaan merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara berasaskan kecerdasan buatan menjelang 2030.

BBerkaitan

Latest articles