BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun melalui detik mengerikan apabila tersedar daripada tidur dan mendapati lehernya dikelar serta bajunya berlumuran darah dalam kejadian di rumahnya di sebuah kampung di Parit Raja, pagi tadi.
Ketika kejadian sekitar jam 9 pagi, hanya ibu bapa dan dua adik-beradiknya berada di rumah.
Insiden itu disedari ibunya yang berusia 40 tahun sebelum segera mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
“Kanak-kanak itu bernasib baik kerana tiada saluran darah utama terputus. Keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan gambar mangsa atau membuat sebarang spekulasi di media sosial bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan dan melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2002.










