Malaysia Anjur Persidangan Kriptografi Pasca-Kuantum Terbesar, Himpun 2,500 Pakar Global

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi tumpuan komuniti keselamatan siber global apabila Persidangan Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC 2025) berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini di Connexion Conference & Event Centre, Kuala Lumpur.

Acara anjuran PKI Consortium itu dijangka menghimpunkan lebih 2,500 peserta daripada sektor kerajaan, industri dan akademik menjadikannya persidangan terbesar dunia yang memberi tumpuan khusus kepada teknologi keselamatan pasca-kuantum.

Selama tiga hari penganjuran, program ini akan menampilkan bengkel praktikal, sesi pleno peringkat tinggi dan perbincangan teknikal mengenai piawaian, strategi pelaksanaan serta rangka kerja dasar bagi melindungi infrastruktur digital daripada ancaman komputer kuantum.

Teknologi komputer kuantum dijangka mampu memecahkan sistem penyulitan sedia ada yang melindungi komunikasi, kewangan dan data kerajaan.

Justeru, peralihan kepada kriptografi kalis kuantum menjadi keutamaan bagi memastikan keselamatan dan privasi digital global.

“Minggu ini, dunia menyaksikan langkah besar dalam peralihan daripada perancangan kepada pelaksanaan kriptografi pasca-kuantum,” kata Pengerusi PKI Consortium, Paul van Brouwershaven.

Menurutnya, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah kerana kedudukannya yang strategik di Asia Tenggara serta komitmen kerajaan dalam memperkukuh kepercayaan digital dan keselamatan siber serantau.

Hari pertama persidangan memberi tumpuan kepada bengkel praktikal dan sesi meja bulat industri dengan demonstrasi langsung serta perkongsian amalan terbaik daripada sektor telekomunikasi, kewangan, penjagaan kesihatan dan kerajaan.

Sementara itu, hari kedua dan ketiga akan menampilkan sesi bertemakan “Wawasan Malaysia dan Suara Global”, termasuk ucaptama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital yang bakal menggariskan hala tuju negara ke arah membina ASEAN yang kalis kuantum.

Selain itu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan membentangkan pelan kesiapsiagaan nasional terhadap ancaman kuantum, manakala lebih 70 pakar antarabangsa dijadual berkongsi pandangan dan strategi dalam membangunkan ekosistem global yang lebih selamat.

Selepas tamat persidangan, PKI Consortium akan menerbitkan Laporan Ringkasan Global PQC 2025 yang menghimpunkan hasil perbincangan, amalan terbaik dan cadangan bagi mempercepatkan kesiapsiagaan pasca-kuantum di seluruh dunia.

Penganjuran di Kuala Lumpur ini dianggap sebagai penanda aras penting bagi rantau Asia-Pasifik, sekali gus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membentuk masa depan kepercayaan digital global.

Persidangan PQC berikutnya dijadual diadakan di Munich, Jerman pada November 2026.

Berpangkalan di Amerika Syarikat, PKI Consortium merupakan gabungan global yang menyatukan pihak kerajaan, industri dan akademik dalam usaha membangunkan piawaian serta teknologi kriptografi baharu yang lebih selamat untuk era kuantum.

Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan rasmi Kerajaan Malaysia, Kementerian Digital, NACSA, Pos Digicert, Baker Tilly dan MSC Trustgate.

BBerkaitan

Latest articles