Anak Pulas Tangan Ibu, Ugut Bunuh Kerana Dilarang Ambil Kereta

MELAKA: Seorang lelaki berusia 22 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas dua pertuduhan iaitu memulas tangan ibunya hingga cedera dan mengugut mahu membunuhnya dalam kejadian bulan lalu.

Tertuduh, U. Sarvin, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Menurut pertuduhan pertama, Sarvin didakwa dengan sengaja mencederakan ibunya, C. Chitra, 41, dengan memulas tangan kiri wanita itu ke belakang badan dalam kejadian di Taman Paya Rumput Permai, Melaka Tengah, pada 12 September lalu, jam 5.45 petang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa mengugut mahu membunuh ibunya iaitu kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, pertengkaran itu tercetus apabila mangsa enggan membenarkan anaknya mengambil kereta keluarga kerana tertuduh berada dalam keadaan mabuk.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan menganggur.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

BBerkaitan

Latest articles