Garis Panduan Larangan Telefon Pintar Diumum Masa Terdekat, Perketat Keselamatan Sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) bakal memperkenalkan garis panduan baharu bagi meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan, termasuk cadangan melarang penggunaan telefon pintar oleh murid bawah umur 16 tahun.

Dalam satu kenyataan, KPM menjelaskan garis panduan itu sedang dirangka dan akan diumumkan dalam masa terdekat susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menetapkan beberapa langkah segera bagi menangani isu keselamatan di sekolah.

Antara langkah yang diberi perhatian adalah penambahbaikan pemantauan keselamatan dengan kerjasama pihak polis di semua institusi pendidikan.

“KPM turut menyokong hasrat kerajaan untuk menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber,” kata kenyataan itu.

Mekanisme pelaksanaan dasar tersebut akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain itu, KPM menegaskan keperluan untuk memperkasa peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat dalam memastikan keselamatan sekolah dapat dipertingkatkan secara berkesan.

Menurut kementerian, kerjasama rentas agensi mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan keselamatan di institusi pendidikan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kerajaan sedang menimbang larangan telefon pintar dalam kalangan pelajar bawah 16 tahun, susulan kebimbangan mengenai pengaruh media sosial dan permainan dalam talian yang boleh mencetuskan tingkah laku tidak dijangka.

BBerkaitan

Latest articles