Rafizi: Anwar Terlampau Fokus Hendak Menang, Kekal Kuasa

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini lebih menumpukan usaha memastikan kemenangan penggal kedua, meskipun terpaksa memenuhi kehendak parti-parti lain dalam kerajaan.

Menurut Rafizi, Anwar sanggup menjaga hati UMNO, DAP, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pihak berkepentingan lain demi kestabilan politik, sedangkan beliau berpandangan keutamaan sebenar adalah melaksanakan reformasi seperti yang dijanjikan sejak puluhan tahun.

“PKR diberi peluang menjadi kerajaan untuk menzahirkan perubahan, bukan saja dalam struktur ekonomi dan sosial, tetapi membawa politik yang bersih dan telus,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Rafizi berkata, kesetiaan dalam perjuangan tidak seharusnya dipersoalkan kerana beliau dan rakan-rakan telah berjuang sejak muda, malah ketika Anwar berada dalam penjara.

Rafizi menolak dakwaan pemerhati politik, Liyana Marzuki yang menyatakan beliau bercita-cita menjadi Perdana Menteri hingga dilihat menentang Anwar.

Sebaliknya, beliau menegaskan jika mahu jawatan, lebih mudah untuknya menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era PH 1.0 seperti dilakukan pemimpin lain dalam PKR, DAP dan Amanah.

“Saya juga boleh bergabung dengan Azmin Ali untuk mencabar Anwar selepas PRU 2008,” ujarnya.

Rafizi mendakwa keputusan yang membawa kepada pembebasan dan pengampunan diraja Anwar pada 2018 banyak dirintis oleh kepimpinan PKR ketika itu, walaupun Anwar sendiri tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan.

“Beliau percaya PKR tak akan menang tanpa Pas. Tapi kami yakin gabungan PH adalah satu-satunya jalan menewaskan BN,” katanya.

Beliau mendakwa label “tidak setia” hanya timbul kerana beliau menuntut PKR lebih berani melakukan perubahan walaupun rakan kerajaan kurang selesa.

“Itu harapan rakyat kepada kita,” tegas Rafizi.

BBerkaitan

Latest articles