PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza agar menumpukan usaha bantuan dari dalam negara dan tidak membebankan operasi dengan menghantar terlalu ramai sukarelawan ke wilayah bergolak itu.
Beliau berkata, walaupun sambutan rakyat Malaysia untuk menjadi sukarelawan sangat tinggi, pihak di Gaza sendiri meminta agar kehadiran fizikal diminimumkan.
“Ramai yang daftar nak pergi, dah beribu orang. Tapi orang Gaza kata jangan ramai sangat. Mereka ada tenaga, cuma tak ada kerja. Jadi mereka nak buat kerja. Kita bantu dari sini,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling, Presint 5, hari ini.
Perdana Menteri turut mencadangkan supaya NGO membeli bekalan seperti ubat-ubatan dan keperluan asas dari negara jiran Gaza bagi menjimatkan kos dan mempercepat proses penghantaran.
“Kalau perlu, kita boleh buat ruling semula,” ujarnya.
Katanya, kerajaan sedang memastikan setiap bentuk bantuan disalurkan secara lebih cekap dan berkesan mengikut keperluan sebenar di lapangan.
Menurut Anwar, misi bantuan kini diselaras bersama NGO tempatan serta kerajaan Mesir bagi memastikan laluan bantuan, termasuk melalui sempadan Rafah, dapat dibuka mengikut peraturan.
Beliau turut memaklumkan akan menerima panggilan telefon daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi esok sekitar jam 2 petang bagi menyelaras penghantaran bantuan.
“Saya sudah jumpa wakil NGO seperti Ehsan, MERCY, Flotilla dan lain-lain. Mereka perlukan perubatan, makanan dan kemudahan asas. Mereka tidak perlukan kehadiran kita yang ramai di sana,” katanya.
Anwar menegaskan, fokus utama adalah memastikan bantuan sampai kepada mangsa perang dengan cara yang tersusun, bukan menunjukkan kehadiran fizikal Malaysia semata-mata.