Kerajaan Kaji Larangan Telefon Pintar Untuk Pelajar Bawah 16 Tahun

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar berumur bawah 16 tahun, susulan kebimbangan terhadap pengaruh media sosial dan permainan dalam talian yang dikatakan semakin mempengaruhi tingkah laku pelajar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bukan perkara baharu, malah sudah dilaksanakan di beberapa negara lain dan Malaysia kini sedang menilai model terbaik yang sesuai digunakan.

“Pengaruh media sosial kadangkala membawa kepada tindakan luar jangka. Sebab itu kita sedang teliti cadangan ini. Peranan ibu bapa juga sangat penting,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Presint 5, hari ini.

Anwar menjelaskan, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memberi tumpuan besar kepada masalah disiplin pelajar, kebimbangan ibu bapa, keselamatan sekolah dan kandungan pendidikan.

“Ramai ibu bapa dan pelajar sendiri meluahkan keresahan. Kita tidak boleh bertindak terburu-buru. Perlu penelitian mendalam,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beberapa langkah awal telah dipersetujui termasuk memperkukuh pemantauan keselamatan di sekolah.

“Keselamatan sekolah tidak boleh dipikul guru semata-mata. Polis dan Kementerian Dalam Negeri akan mainkan peranan lebih aktif,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh insiden kes buli berterusan dan pelajar menyerang guru, yang menurutnya memerlukan pendekatan tegas, menyeluruh dan berasaskan nilai.

“Ini bukan sekadar soal disiplin. Kita mahu mengangkat semula nilai dan akhlak dalam sistem pendidikan. Pendidikan mesti cemerlang, tetapi dengan nilai Madani,” tegasnya.

Dalam masa sama, kerajaan turut meneliti kandungan pendidikan agama di sekolah tahfiz dan institusi pengajian agama bagi mengelakkan penyebaran fahaman yang bercanggah dengan nilai murni.

“Ada pelajar terdedah kepada fahaman yang tidak sesuai walaupun institusi itu tidak diharamkan. Kandungan ini juga sedang diteliti,” katanya.

Anwar berkata, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan memberikan penjelasan lengkap dalam masa terdekat serta mengadakan libat urus dengan sekolah, PIBG dan masyarakat.

“Saya harap guru besar, pengetua, guru dan ibu bapa beri kerjasama penuh. Kadangkala masalah timbul kerana salah faham atau keutamaan tidak selari,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles