L
SHAH ALAM: Seorang murid Tahun Satu cedera selepas dipukul dua murid Tahun Tiga dalam kejadian di kantin sebuah sekolah di Seksyen 32, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 9.51 malam hari yang sama.
Menurutnya, mangsa dipukul sekitar jam 3 petang ketika waktu rehat di kantin sekolah.
“Mangsa kini dirawat di Hospital Shah Alam dan dalam keadaan stabil. Siasatan mendapati murid tersebut dipukul oleh dua murid Tahun Tiga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kejadian tular di media sosial apabila bapa mangsa mendakwa anaknya dipaksa berdiam diri dan diugut akan dicekik jika melawan.
Mangsa turut dipercayai dipijak berkali-kali pada bahagian perut, dada dan kaki serta mulutnya ditekup oleh pelaku.
Mohd Iqbal berkata, siasatan sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca kejadian dan tahap kecederaan yang dialami mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
“Individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-513 0450,” jelasnya.