ALOR GAJAH: Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun hari ini didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah berhubung kes rogol berkumpulan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Kedua-duanya, calon SPM, berdepan tiga pertuduhan iaitu merogol secara berkumpulan, melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii serta amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun lapan bulan.
Seorang tertuduh mengaku bersalah bagi semua pertuduhan, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Prosiding dijalankan secara tertutup mengikut undang-undang kanak-kanak.
Majistret Dr Teoh Shu Yee membenarkan jaminan RM7,000 setiap tertuduh dan menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah.
Kes ini sebelum ini tular selepas rakaman insiden tersebut didakwa dirakam dua lagi suspek dan tersebar dalam kalangan pelajar sebelum ibu mangsa membuat laporan polis pada 10 Oktober.
Polis menahan empat remaja berusia 17 tahun dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.