MELAKA: Empat pelajar lelaki yang didakwa merogol rakan sekolah mereka secara bergilir-gilir di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah akan dituduh di Mahkamah Majistret Melaka hari ini.
Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat asas kukuh untuk pertuduhan dikenakan terhadap kesemua suspek.
“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” kata kenyataan itu.
Jabatan Peguam Negara juga menegaskan pihaknya komited memastikan setiap kes jenayah seksual, terutama yang melibatkan mangsa kanak-kanak, ditangani secara tegas berlandaskan undang-undang.
Menurut laporan sebelum ini, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang pada 2 Oktober lalu dalam sebuah kelas.
Dua suspek dipercayai merakam perlakuan itu menggunakan telefon bimbit sebelum video berkenaan tersebar.
Kes terbongkar selepas ibu mangsa dimaklumkan guru mengenai penyebaran video tersebut dan membuat laporan polis.
Polis mengesahkan keempat-empat suspek, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, direman enam hari bermula 11 Oktober lalu.
Turut dirampas beberapa telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Prosiding pendakwaan dijangka mendapat perhatian umum berikutan desakan supaya tindakan tegas diambil terhadap pelaku jenayah seksual walaupun masih bersekolah.