PUTRAJAYA: Sebanyak 200 sekolah berasrama berisiko tinggi di seluruh negara, termasuk yang pernah merekodkan kes buli, akan siap dipasang kamera litar tertutup (CCTV) sepenuhnya menjelang bulan depan, kata Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan) KPM, Wan Hashim Wan Rahim, berkata projek pemasangan yang bermula sejak Ogos lalu melibatkan peruntukan RM3 juta, dengan fokus utama memastikan keselamatan pelajar di kawasan sekolah dan asrama berada pada tahap maksimum.
“Pemasangan ini melibatkan sekolah berasrama yang dikenal pasti berisiko tinggi termasuk mempunyai rekod kejadian buli dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri Majlis Persaraan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2025, di Kuala Nerus.
Menurut Wan Hashim, langkah ini bukan hanya pencegahan, malah mampu membantu siasatan secara lebih menyeluruh.
Sebelum ini, katanya, banyak kes berlaku di kawasan sekolah dan asrama sukar dibuktikan kerana tiada rakaman atau saksi yang jelas.
Beliau menjelaskan bahawa setiap sekolah akan menerima jumlah kamera berbeza bergantung keperluan serta kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’.
KPM turut bekerjasama dengan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan polis untuk menentukan sudut pemasangan yang tepat tanpa melanggar privasi pelajar dan guru.
“Ada sekolah perlukan lapan unit, ada yang 10 unit. Kita akan rujuk nasihat CGSO untuk pastikan pemasangan dibuat dari sudut yang sesuai,” tegasnya.
Langkah ini dilihat sejajar dengan desakan masyarakat agar isu buli, penderaan, dan insiden tidak diingini di sekolah asrama ditangani secara tegas dan sistematik.
Dengan pemasangan CCTV secara menyeluruh, KPM yakin pengawasan lebih efektif dapat dilaksanakan dan sekolah kembali menjadi tempat paling selamat untuk pelajar.