KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun daripada membuka akaun.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata langkah itu penting bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya dan memastikan garis panduan komuniti platform digital benar-benar dikuatkuasakan.
“Saya telah maklumkan kepada semua platform media sosial bahawa Malaysia akan mewajibkan pengesahan identiti, terutama bagi memastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak memiliki akaun.
“Cuma garis masa pelaksanaannya akan saya laporkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum diumumkan,” katanya selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) di DUN Sindumin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah; Timbalan Pengarah Urusan SKMM, Zurkarnain Mohd Yasin; dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi memaklumkan, SKMM akan bertemu wakil platform media sosial minggu depan bagi mempercepat pelaksanaan eKYC.
Selain isu kanak-kanak, sistem ini juga akan digunakan untuk membanteras penipuan dalam talian, kandungan berbahaya, judi dan iklan palsu.
“Platform banyak disalah guna penjenayah untuk scam. Semalam di Parlimen saya dedahkan, 78% kandungan scam yang diturunkan datang daripada Facebook,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata program NADI on Wheels (NOW) yang dilaksanakan bersama SKMM bertujuan memperluas capaian digital ke kawasan luar bandar.
Setakat ini, terdapat 1,099 NADI di seluruh negara termasuk 131 di Sabah.
Program NOW di Sipitang turut dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan sehingga 250Mbps serta tablet bagi melatih komuniti tempatan dalam kemahiran digital dan keusahawanan.
Beliau turut menyentuh projek Kabel Dasar Laut Madani (Salam) bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, yang akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
“Untuk Sabah, kabel dasar laut akan dipasang dari Tanjung Aru ke Tawau. Kita jangka siap dalam dua hingga tiga tahun,” katanya sambil menegaskan projek itu menjadi keutamaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kabel sedia ada.
SKMM juga akan meningkatkan penyelenggaraan menara telekomunikasi yang sering terjejas banjir melalui proses site hardening serta penggunaan sistem jana kuasa hibrid bagi memastikan rangkaian komunikasi tidak terganggu.