KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja dijangka menandatangani perjanjian gencatan senjata semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, yang turut akan disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perjanjian yang dinamakan ‘Kuala Lumpur Accord’ itu bertujuan memastikan kedua-dua negara berdamai dan mematuhi gencatan senjata di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.
Beliau memaklumkan Trump akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 26 Oktober untuk menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, termasuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
“Kita sedang bekerjasama dengan AS, manakala Malaysia bertindak sebagai pemudah cara untuk memastikan gencatan senjata yang lebih meluas antara Thailand dan Kemboja dapat dilaksanakan serta diselia oleh Pasukan Operasi ASEAN (AOT),” katanya pada sidang media di Kelab Concorde.
Mohamad menjelaskan, perjanjian itu akan menetapkan beberapa komitmen utama, antaranya membersihkan periuk api dan menarik balik jentera perang dari kawasan sempadan.
Thailand dan Kemboja berdepan konflik selama beberapa dekad berhubung wilayah di sepanjang 817 kilometer sempadan bersama.
Pertikaian memuncak pada 24 Julai lalu apabila kedua-dua pihak berbalas tembakan, namun berakhir pada 28 Julai selepas Malaysia menganjurkan mesyuarat khas di Putrajaya yang membawa kepada gencatan senjata sementara.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata lebih 80 dokumen dijangka diterima pakai sepanjang sidang kemuncak itu, kebanyakannya melibatkan sektor ekonomi.
“Kita juga akan mengadakan mesyuarat mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang penting dalam situasi geoekonomi tidak menentu,” katanya.
Selain itu, ASEAN dan China turut dijadual menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 semasa sidang kemuncak yang sama.