KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir terus mendedahkan budaya membimbangkan di asrama apabila saksi kanak-kanak ke-13 memberitahu mahkamah bahawa terdapat pelajar melakukan amalan mencederakan diri dikenali sebagai ‘barcode’.
Menurut peguam keluarga arwah, Shahlan Jufri, saksi mengaku pernah melakukan perbuatan itu sebanyak tiga kali dengan menoreh lengan menggunakan cutter, kerana mengikut “trend batch” rakan-rakan.
Saksi juga mendakwa pernah melihat beberapa pelajar lain melakukan perkara sama ketika masih junior, namun ia biasanya disorokkan daripada pengetahuan rakan lain.
Saksi turut mendedahkan kewujudan kumpulan pelajar dikenali sebagai “Circle 19” yang mempunyai baju khas tertera perkataan NINETEEN dan logo “NT”.
Beberapa ahli kumpulan itu pernah dipanggil guru disiplin kerana membawa telefon bimbit ke asrama sekitar Jun dan Julai 2025.
Menurut saksi, kumpulan tersebut mewarisi amalan lama dan kadang-kala bersikap kasar terhadap junior, kerana mereka sendiri pernah diperlakukan sedemikian ketika menjadi junior.
Guru-guru didakwa tidak mengetahui sepenuhnya tentang tingkah laku itu.
Saksi ke-22 berkata pada 15 Julai lalu, dia dan seorang rakan senior lain dipanggil untuk “menyelesaikan” satu kes membabitkan tuduhan Zara mencuri kad bank seorang pelajar junior.
Mereka kemudian bergilir-gilir menyoal Zara, namun arwah hanya mendiamkan diri dan tidak menjawab.
Saksi kanak-kanak ke-12 pula mengesahkan pernah bertanya kepada Zara secara berdepan mengenai dakwaan mencuri.
“Zara, kau jujur saja, betulkah kau ambil benda tu?” katanya. Namun Zara menafikan tuduhan tersebut.