Pentadbir Sekolah Insiden Tikam Pelajar Dipindah ke PPD

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan pentadbir sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, ditempatkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) susulan tragedi pelajar Tingkatan Empat maut ditikam rakan sekolah pagi tadi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Sebagai langkah awal dan untuk memudahkan siasatan, pentadbir sekolah terlibat akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah sehingga siasatan selesai,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian menyayat hati yang berlaku dalam kawasan sekolah.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam oleh pelajar lelaki Tingkatan Satu (Peralihan) kira-kira jam 9.30 pagi.

Suspek dipercayai membawa senjata tajam, dipercayai pisau, ke dalam kawasan sekolah sebelum melakukan serangan.

Ditanya sama ada pertukaran pentadbir dilakukan serta-merta atau melibatkan pengetua dan kakitangan lain, Mohd Azam menjelaskan KPM akan menentukan kaedah yang paling sesuai.

“Kita akan pastikan operasi sekolah berjalan seperti biasa. Kaedah penempatan semula akan dibuat dengan teliti,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar terus menyalurkannya kepada pihak polis, dan bukan membuat spekulasi di media sosial.

“Insiden ini melibatkan remaja bawah umur. Kita ada undang-undang berkaitan kanak-kanak dan semua pihak mesti menghormati proses perundangan,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles