Suri Rumah Didenda RM10,000, Ugut Sebar Gambar Bogel Lelaki Kerana Wang

GEORGETOWN: Seorang suri rumah dihukum denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pemerasan dengan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang lelaki yang dikenalinya melalui media sosial.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi turut memerintahkan tertuduh, Nur Husna Noor Baharuddin, 33, dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan pemerasan terhadap Muhamad Yasir Mohamed Farouk, 28, dengan menimbulkan ketakutan melalui panggilan telefon sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM3,750.

Kesalahan itu berlaku pada 14 Jun lalu, jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Lintang Kampung Rawa 1.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau gabungan mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh melalui aplikasi Facebook pada 12 Jun sebelum wanita itu menawarkan untuk menghantar gambar dan video lucah miliknya.

Mangsa bersetuju dan menerima kandungan berkenaan menerusi WhatsApp, namun dua hari kemudian tertuduh mula mengugut akan menyebarkan gambar mangsa jika tidak diberikan wang RM3,750.

Berasa takut, mangsa membuat 10 transaksi pindahan wang ke akaun tertuduh. Namun, tertuduh terus meminta wang tambahan sehingga mangsa yang kehabisan duit tampil membuat laporan polis.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hasan Gani, memohon denda minimum kerana anak guamnya mempunyai enam anak termasuk bayi enam bulan serta anak autisme berusia dua tahun.

“Anak guam saya juga menanggung ibu bapa dan merupakan suri rumah sepenuh masa. Ini adalah kesalahan pertamanya,” katanya.

Mahkamah mengambil kira rayuan tersebut, namun menegaskan kesalahan pemerasan melibatkan ancaman maruah mangsa adalah serius dan perlu diberi hukuman wajar.

BBerkaitan

Latest articles