Kes Rogol: KPM Mesti Bertindak Tegas, Bukan Hak Calon Didakwa Ambil SPM

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menunjukkan ketegasan dan kepimpinan yang jelas susulan kejadian rogol pelajar di sebuah sekolah di Melaka yang menggemparkan negara.

Menurutnya, masyarakat kini hilang keyakinan terhadap tahap keselamatan, disiplin dan kualiti pengajaran di sekolah, justeru memerlukan tindakan segera dan drastik daripada pihak kementerian.

“Rakyat tidak mahu mendengar tentang hak pelajar yang melakukan jenayah rogol untuk menduduki SPM. Mereka mahu jaminan bahawa keselamatan murid adalah keutamaan KPM dan tiada toleransi terhadap jenayah di kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Maszlee berkata, KPM sepatutnya mengambil langkah tegas seperti membuang terus pelajar yang terlibat dalam kejadian jenayah berat, sementara siasatan polis diteruskan.

“Tindakan tegas ini akan menjadi amaran bahawa sekolah mesti kekal sebagai tempat paling selamat untuk murid-murid,” tegasnya.

Beliau mendedahkan bahawa ramai guru, ibu bapa dan pihak media menghubunginya bagi mendapatkan pandangan, dan meskipun pada awalnya memilih untuk berdiam, naluri seorang bapa mendorongnya bersuara.

“Rogol bergilir-gilir, merakam dan menyebarkan perbuatan keji… di dalam kawasan sekolah! Ini jenayah yang amat luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Maszlee turut mengaitkan kejadian ini dengan beberapa insiden tragis lain seperti kes kematian pelajar tahfiz, kes buli, penyebaran gambar bogel menggunakan AI, serta pengetua yang mencabul pelajar.

“Jika saya masih ada anak perempuan bersekolah, saya pasti risau dan takut. Rakyat trauma, gundah dan bimbang,” katanya.

Jelasnya, KPM bertanggungjawab memulihkan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan negara, dan hanya tindakan tegas serta kepimpinan berani mampu mengembalikan kepercayaan itu.

BBerkaitan

Latest articles