Kita Bukan Nak Jadi Hero Atau ‘Pergi Mati’

SEPANG: Penyertaan 145 aktivis antarabangsa termasuk sembilan sukarelawan Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) bukan bertujuan menjadi wira atau mencari bahaya, sebaliknya membawa mesej kemanusiaan dan membuktikan kemampuan rakyat Malaysia dalam memberikan bantuan perubatan kepada Palestin.

Delegasi Malaysia, Dr Fauziah Hassan berkata, misi itu adalah usaha kecil tetapi penuh makna dalam menyedarkan dunia mengenai kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Gaza.

“Alhamdulillah, kami pergi bukan untuk jadi hero atau ‘pergi mati’. Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa inilah usaha paling kecil yang mampu kami lakukan. Lakukan untuk dedahkan kejahatan dan kezaliman Israel,” katanya pada sidang media sejurus tiba di Terminal 1 KLIA, hari ini.

Kesemua delegasi Malaysia selamat tiba kira-kira jam 4.00 petang menaiki pesawat Saudi SV0834.

Seramai lapan aktivis menaiki kapal Conscience terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad, menaiki kapal Umm Saad.

Sebagai petugas perubatan, Dr Fauziah menzahirkan hasrat mendalam untuk sampai ke Gaza demi menyalurkan rawatan kepada mangsa kekejaman Israel, terutama selepas ramai doktor dan jururawat di sana dibunuh, ditahan atau diseksa.

“Hospital dimusnahkan, ubat tiada, peralatan minimum. Kami sangat ingin sampai ke Gaza untuk membantu rakan-rakan kami. Itu tanggungjawab kami sebagai doktor untuk menyelamatkan nyawa,” tegasnya.

Misi kemanusiaan FFC x TMTG sebelum ini berdepan halangan apabila kapal mereka ditahan dan aktivis dipindahkan ke penjara Israel.

BBerkaitan

Latest articles