KPM Arah MCMC Sekat Video Rogol Babitkan Pelajar Tingkatan Tiga

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera dengan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat penyebaran video salah laku seksual membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pihaknya memandang serius insiden mengejutkan itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terlibat.

“Kita sudah meminta kementerian berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan video tersebut tidak terus tersebar kerana ia melibatkan mangsa bawah umur yang wajib dilindungi,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai menghentikan penyebaran video berkenaan kerana ia hanya menambah aib serta menjejaskan emosi mangsa.

“Kes ini berada di bawah siasatan pihak berkuasa dan ia adalah kes yang sangat serius. Masyarakat perlu faham dan hormati hak mangsa,” tegasnya.

Fadhlina turut memaklumkan KPM sedang menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti aspek keselamatan dan tadbir urus sekolah terlibat.

“Insya-Allah esok kita akan turun ke Melaka untuk memastikan isu ini ditangani segera. Saya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad memantau kes ini secara dekat,” katanya.

Menurutnya, Pengarah Pendidikan Melaka juga telah diarahkan mengambil tindakan segera bagi memperkukuh keselamatan sekolah selain menyediakan bimbingan dan sokongan psikososial kepada pelajar serta guru.

Media sebelum ini melaporkan mangsa dipercayai dirogol dua pelajar Tingkatan Lima di dalam kelas, manakala dua pelajar lain menyaksikan dan merakam perbuatan keji itu.

Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa dimaklumkan oleh guru mengenai penularan video berkenaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah.

Polis telah menahan semua suspek dan siasatan sedang dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles