PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku seksual di institusi pendidikan dan mengarahkan tindakan paling tegas diambil terhadap pelaku.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata semua pihak berkaitan termasuk sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diwajibkan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan.
“Tiada siapa yang akan dilindungi. Pesalah mesti dikenakan tindakan paling tegas,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kes membabitkan seorang pelajar Tingkatan 3 yang mendakwa dirogol dua pelajar Tingkatan 5 di sebuah sekolah di Melaka, minggu lalu.
Difahamkan, semua suspek telah ditahan reman oleh polis bagi membantu siasatan.
Dalam kenyataan berasingan, KPM menegaskan pihaknya memandang serius insiden tersebut yang melibatkan beberapa murid sekolah berkenaan.
“KPM memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana bentuk salah laku seksual. Sesiapa yang bersalah mesti dikenakan tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
KPM turut mengarahkan semua pentadbir institusi pendidikan mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuat kuasa, selain memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan.
Terdahulu, media melaporkan kejadian dipercayai berlaku pada 2 Oktober lalu sekitar jam 2.50 petang, ketika mangsa kembali ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek Sains yang tertinggal.
Mangsa didakwa diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua pelajar senior, manakala dua lagi rakan suspek menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.
Insiden itu terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa dimaklumkan guru mengenai penyebaran video tersebut dan segera membuat laporan polis.