Pelajar Trauma Jadi Mangsa Rogol Dua Calon SPM, Empat Suspek Direman

MELAKA: Pelajar perempuan Tingkatan 3 sebuah sekolah trauma seumur hidup selepas dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas sambil kejadian dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.

Kejadian menimpa mangsa berusia 15 tahun terbongkar petang semalam selepas ibunya mendapat maklumat mengenai penyebaran video aib anak sulungnya itu daripada guru sekolah sebelum membawa mangsa membuat laporan polis.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang 2 Oktober lalu ketika pelajar itu berpatah balik ke kelasnya di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran sains yang tertinggal.

“Sebaik tiba di kelas, mangsa yang juga pengadu kes perasan terdapat dua pelajar lelaki senior berusia 17 tahun sedang menghendapnya dari celah pintu kelas.

“Bagaimanapun selepas mengambil barangnya dan ketika sedang menuruni tangga, tiba-tiba suspek pertama menggenggam kuat tangan mangsa, menutup mulut dan menolaknya masuk semula ke dalam kelas di tingkat tiga.

“Seorang lagi rakannya pula menjaga di kawasan tangga sebelum dua lagi pelajar lelaki lain berusia 17 tahun masuk ke dalam kelas melihat suspek pertama membogelkan mangsa dan merogolnya,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette.

Menurutnya, kejadian itu disaksikan kesemua empat suspek sebelum suspek kedua juga merogol pengadu manakala suspek ketiga bertindak merakam perbuatan aib itu menggunakan telefon milik suspek pertama.

Sumber berkata, suspek keempat pula menjaga kawasan kelas bagi mengelak jenayah itu terbongkar sebelum kesemua mereka meninggalkan pengadu di dalam kelas.

“Akibat kejadian itu, pengadu mengalami trauma, tidak mempercayai sesiapa dan takut untuk ke sekolah sehinggalah kejadian itu terbongkar semalam apabila ibunya mendapat makluman kejadian daripada guru.

“Gurut terbabit memaklumkan video pengadu dirogol telah tersebar dalam kalangan suspek dan setelah melihat video tersebut, wanita itu membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah petang semalam,” katanya.

Susulan laporan itu, mangsa telah dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan pemeriksaan lanjut dan masih menjalani rawatan di sana.

“Keempat- empat suspek yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan telah ditangkap semalam dan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.

BBerkaitan

Latest articles