KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat dari Israel yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Istanbul sekitar pukul 3 petang waktu tempatan hari ini dipercayai membawa 95 individu, disyaki kesemua peserta kapal Conscience daripada misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC).
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri memaklumkan, maklumat tersebut diterima daripada Kementerian Luar Turkiye yang menyatakan pesawat itu merupakan penerbangan khas membawa kumpulan sukarelawan yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas armada mereka dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
“Kementerian Luar Turki: Kapal terbang dari negara penjajah akan tiba di Istanbul 3pm, membawa 95 orang (kemungkinan semua peserta Conscience),” kata Nadir.
Menurut beliau, pihaknya kini menunggu pengesahan lanjut berhubung identiti mereka yang berada dalam pesawat tersebut.
Kapal Conscience yang membawa wakil dari pelbagai negara termasuk Malaysia merupakan sebahagian daripada misi kemanusiaan untuk menyalurkan bantuan ke Gaza, namun disekat oleh tentera laut Israel minggu lalu.
Vessel itu yang membawa 92 individu terdiri daripada doktor, wartawan dan aktivis kemanusiaan termasuk lapan delegasi Malaysia telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod sekitar 12.45 tengah malam Khamis (waktu Malaysia).
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) sebelum ini memaklumkan, pasukan peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) turut berada di pelabuhan tersebut bagi mengurus kesemua peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG).
Semalam, dilaporkan kesembilan kapal dalam misi itu dipintas tentera Zionis sekitar 10.50 pagi waktu Malaysia.
Untuk rekod, misi merentasi Laut Mediterranean itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menuntut pemberhentian perang, pengakhiran krisis kebuluran dan pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.
Misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara, dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia terdiri daripada lapan wakil di kapal Conscience termasuk Mohd Afandi, tiga doktor, dua pensyarah, seorang ahli lembaga MyCARE dan seorang wartawan Astro Awani.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad, berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September lalu bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.