Isu Pemain Warisan Bukan Silap KDN, Saifuddin Tegas Semua Proses Ikut Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan sebarang pelanggaran undang-undang dalam kelulusan kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang kini berdepan hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, semua pemain terbabit diluluskan kewarganegaraan mengikut Perlembagaan Persekutuan, dan isu yang timbul ketika ini adalah antara FAM dan FIFA, bukannya KDN.

“Syarat FIFA untuk layak mewakili negara ada empat; lahir di negara tersebut, ibu atau bapa lahir di negara itu, datuk atau nenek lahir di sana, atau menetap secara berterusan. Jika mana-mana syarat dipenuhi, mereka layak. Jadi isu ini adalah urusan FIFA dan FAM, biar mereka selesaikan,” katanya di Dewan Rakyat.

Saifuddin turut menerangkan bahawa kelulusan kewarganegaraan pemain naturalisasi tertakluk kepada Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, yang mewajibkan tiga syarat utama iaitu bermastautin dalam tempoh ditetapkan, berkelakuan baik dan mempunyai pemahaman bahasa Melayu mencukupi.

Beliau menegaskan, setiap permohonan mesti dibuat sendiri oleh pemain dan bukan melalui ejen.

“JPN tidak pernah melantik ejen untuk memohon warganegara. Pemohon mesti mohon sendiri,” katanya.

Setakat ini, 23 pemain bola sepak telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia, termasuk tujuh pemain terbaru yang kini menjadi tumpuan FIFA.

Daripada 49,000 permohonan warganegara secara keseluruhan, sebanyak 6,000 permohonan masih belum diputuskan.

Selain Perkara 19, Saifuddin memaklumkan menteri juga mempunyai kuasa budi bicara di bawah Seksyen 20(1)(e) untuk memberi kelulusan kewarganegaraan atas kepentingan negara, bukan hanya dalam bola sepak.

“Bukan bola saja. Atlet gimnastik, menembak, jalan kaki pun ada. Jika berada di luar negara, masih boleh dianggap bermastautin. Bahasa Melayu pula memadai jika mereka faham,” jelasnya.

Sebelum ini, FIFA mengenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) terhadap FAM dan menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan, selain denda 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap seorang.

Mereka ialah:
• Gabriel Palmero
• Facundo Garces
• Rodrigo Holgado
• Imanol Machuca
• Joao Figueiredo
• Jon Irazabal
• Hector Hevel

FAM mendakwa pertikaian itu berpunca daripada ‘ralat pentadbiran’ dalam dokumentasi.

BBerkaitan

Latest articles