XOX Jadi Perintis Integrasi MyDigital ID Di IPT, Sasar Percepat Transformasi Digital Belia

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi XOX Bhd mengambil langkah berani apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MyDigital ID, anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MOF), bagi memperluaskan penggunaan identiti digital di Malaysia.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung sempena CYBERDSA 2025 di ibu negara semalam turut disaksikan oleh Tan Sri Asmat Kamaludin, Pengerusi Aerosea Exhibitions; Al-Ishsal Ishak, Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia; serta Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Sebagai syarikat telekomunikasi terawal bekerjasama dalam inisiatif ini, XOX akan mengintegrasikan MyDigital ID menerusi program unggulnya, MySiswa.

Usaha tersebut disasarkan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi, meningkatkan penglibatan pelajar dan mempercepatkan agenda transformasi digital negara.

Kerjasama ini bakal menyaksikan XOX menggerakkan jaringan belia di seluruh negara melalui kempen kesedaran, siri jelajah kampus dan aktiviti pendidikan bagi memperluaskan penerimaan MyDigital ID.

Pengarah Urusan XOX, Datuk Kenneth Vun, berkata pemeteraian MoU itu menandakan babak baharu buat syarikat dalam usaha membina generasi digital Malaysia.

“Dengan MySiswa, pelajar bukan sahaja memiliki identiti digital yang selamat, malah turut diberikan keyakinan, keselamatan dan peluang baharu. Ini bukan sekadar teknologi, tetapi asas membina generasi digital Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, cabaran dunia siber yang sarat dengan risiko tidak boleh ditangani dengan ketakutan.

Sebaliknya, MyDigital ID mampu memberikan keyakinan dengan melindungi privasi pengguna, menjamin keselamatan data serta membuka ruang inovasi baharu.

Usaha ini mencerminkan aspirasi bersama XOX dan MyDigital ID untuk mempercepatkan transformasi digital negara, memperkasa belia, serta menjadikan Malaysia sebagai peneraju yang diyakini dalam ekosistem digital serantau.

BBerkaitan

Latest articles