PETALING JAYA: Hujan lebat dan angin kencang yang melanda Pantai Dalam petang semalam mencetuskan suasana cemas apabila bumbung Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka tercabut sebelum menghempap kira-kira 30 kereta di kawasan parkir.
Insiden bermula sekitar jam 5 petang itu turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang di Jalan Bangsar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil segera turun padang meninjau keadaan.
Beliau sempat bertemu dengan penduduk yang terjejas bagi mendapatkan maklumat terus mengenai kerosakan dialami mereka.
Menurut saksi, bumbung besi yang tercabut ditiup angin kuat terjatuh secara tiba-tiba, menyebabkan barisan kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir tidak sempat dialihkan.
“Keadaan sangat menakutkan, bunyinya kuat seperti letupan sebelum bumbung itu menghempap kereta,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Difahamkan, pihak berkuasa tempatan sedang menilai tahap kerosakan dan langkah segera bagi memastikan keselamatan kawasan terbabit.