BALIK PULAU: Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka memberi penjimatan besar kepada kerajaan, dianggarkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, penjimatan itu berdasarkan unjuran harga minyak mentah sekitar USD75 setong, sekali gus membolehkan kerajaan menyalurkan semula dana kepada pelbagai program kebajikan rakyat.
“Wang yang dijimatkan akan disalurkan kepada bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), skim pendidikan serta bantuan tunai lain. Jika tidak dilaksanakan, sebahagian besar peruntukan untuk rakyat yang benar-benar memerlukan akan terjejas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, hari ini.
Amir menjelaskan, sistem MyKad dipilih sebagai kaedah utama pengesahan bagi mengelakkan ketirisan.
“Setiap rakyat Malaysia berusia 12 tahun ke atas memiliki kad pengenalan. Jadi, mudah untuk membezakan antara warganegara dan bukan warganegara. Jika tiada MyKad biru, maka tidak layak menikmati subsidi,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan, butiran lengkap mengenai mekanisme penyasaran subsidi akan diumumkan di Putrajaya hujung minggu ini.
Mulai 30 September, semua rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu sah boleh menikmati sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan pada harga RM1.99 seliter.
Pengesahan boleh dibuat menggunakan MyKad di pam, kaunter atau melalui aplikasi stesen minyak.
Warga asing, individu tanpa lesen memandu dan kenderaan berdaftar luar negara tidak layak menerima subsidi, manakala kenderaan komersial kekal menggunakan kad fleet sedia ada.