Inkues Zara Qairina: Tular Cakap-Cakap Tuduhan Curi Sebelum Tragedi

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pernah bercakap mengenai dakwaan kecurian yang dikaitkan dengan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, sebelum remaja itu ditemui meninggal dunia Julai lalu.

Saksi keenam inkues, Linah Mansoding yang juga pengawal keselamatan sekolah, berkata tuduhan itu timbul selepas seorang pelajar dikenali sebagai A kehilangan dompet pada 15 Julai.

“A maklumkan kepada saya bahawa dompetnya hilang. Katanya, ada wang tunai RM300 dan kad bank di dalam dompet tersebut. Tetapi dia tidak menuduh siapa yang mencurinya,” jelas Linah.

Menurutnya, A melaporkan perkara itu kepada pelajar senior sebelum seorang warden sekolah, Ustaz Rizani, mengambil tindakan lanjut dengan menemubual beberapa pelajar.

Linah menambah, Zara Qairina kemudiannya dikatakan dipanggil dan dituduh mencuri oleh pelajar Tingkatan Empat, namun beliau sendiri tidak mengetahui punca arwah dijadikan sasaran.

Ketika disoal peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri, Linah mengakui tidak tahu mengapa hanya arwah dituduh, sedangkan ramai pelajar lain turut berada di kawasan sama.

Dalam keterangannya, Linah juga memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya pernah berinteraksi dua kali dengan Zara sepanjang tahun ini selepas melihat video TikTok arwah serta ketika menegurnya berada di kawasan dobi pada lewat malam.

Katanya, dalam rakaman TikTok tersebut, Zara dilihat seakan menyesal berjumpa seseorang, namun arwah enggan berkongsi lanjut ketika ditanya.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, keesokannya.

Inkues masih berjalan bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles