GUAR CHEMPEDAK, 12 Sept – Dua individu, seorang lelaki dan seorang wanita, ditemukan maut dengan kesan tikaman dalam kejadian di Taman Nona, di sini malam tadi.
Insiden sekitar jam 9 malam itu mengejutkan penduduk setempat apabila jeritan meminta tolong kedengaran sebelum seorang lelaki dilihat rebah di atas jalan.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia baru pulang membeli barangan keperluan bersama isteri dan anak sebelum terdengar jeritan.
“Isteri saya menjerit, katanya ada orang kena tikam. Saya nampak seorang lelaki rebah di jalan dan sebuah kereta beredar dari lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, dia kemudian menghampiri lokasi dan mendapati lelaki berkenaan sudah tidak bergerak.
Katanya lagi, dia turut melihat seorang wanita berlumuran darah di tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta Proton Wira yang diparkir di kawasan tersebut.
“Wanita itu dalam keadaan mengiring ke sebelah pemandu, tapi saya tak nampak dengan jelas kecederaannya kerana ketika itu hujan lebat,” katanya.
Penduduk itu menambah, dia dan isterinya tidak mengenali mangsa serta tidak pernah melihat mereka sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohd Hamizi Abdullah, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.40 malam.
Mangsa lelaki berusia 30 tahun manakala wanita berusia 28 tahun.
Kedua-duanya dipercayai maut akibat tikaman di bahagian badan.