KUALA LUMPUR: Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan jenayah kewangan melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM452 juta.
Abu Sahid, yang hadir berkerusi roda kerana masalah kesihatan, dituduh melakukan empat pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat bernilai RM313 juta serta 13 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM139 juta.
Semua kesalahan itu didakwa berkaitan dengan cadangan projek Pembinaan Lebuh Raya Putrajaya-KLIA (MEX II) yang dirancang bermula dari Persimpangan Putrajaya hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
“Faham… tidak mengaku salah,” kata beliau setiap kali jurubahasa selesai membaca pertuduhan.
Difahamkan, semua pertuduhan pecah amanah dilakukan ketika beliau bertindak sebagai Pengarah Maju Holdings di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Maju Holdings merupakan pemegang konsesi Maju Expressway (MEX) yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur–Putrajaya–KLIA.










