UMNO Mohon Agong Laksana Titah Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR: UMNO hari ini merafak sembah memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar titah tahanan rumah ke atas Datuk Seri Najib Razak dapat dilaksanakan, selepas kewujudan titah berkenaan akhirnya disahkan oleh pihak Peguam Negara.

Dalam kenyataan penuh nada mengharap, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu amat bersyukur dengan pengesahan tersebut, sekali gus memberi sinar baharu buat bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara itu.

“UMNO merafak sembah memohon ampun dan ihsan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Baginda menurut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata Asyraf dalam kenyataan media.

Menurut Asyraf, UMNO menaruh harapan tinggi agar limpah perkenan Baginda membolehkan Najib dikurnia keringanan hukuman yang telah tertunda sejak lebih setahun lalu.

Kenyataan itu hadir sehari selepas Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan bahawa titah penahanan rumah berkenaan “memang wujud”, namun menegaskan prosedur undang-undang perlu tetap dipatuhi sebelum ia dapat dijadikan bukti sahih dalam semakan kehakiman.

Pada 9 Julai lalu, Shamsul menjelaskan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikai kewujudan titah, tetapi menekankan cara pembuktian di mahkamah mesti mengikut aturan.

“Kami berpendirian titah itu wujud. Namun prosedur untuk mengemukakannya sebagai bukti tambahan dalam semakan kehakiman perlu dipatuhi. Kami serah kepada mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kenyataan itu muncul susulan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang mahu kepastian pendirian AGC mengenai perkara tersebut semasa prosiding Mahkamah Tinggi.

BBerkaitan

Latest articles