SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas kini disiasat polis selepas didakwa menyebarkan video seks membabitkan isterinya, madunya serta beberapa wanita lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kes terbongkar apabila isteri kedua lelaki terbabit tampil membuat laporan pada 16 Jun lalu.
Menurutnya, wanita itu mendakwa suaminya sendiri yang menyebarkan video tidak senonoh tersebut, termasuk aksi bersama dirinya dan isteri pertama, selain gambar-gambar mengaibkan beberapa wanita lain.
“Susulan laporan itu, polis menahan penceramah berkenaan pada 1 Julai lalu dan merampas dua telefon bimbit serta sebuah komputer riba milik suspek.
“Hasil semakan mendapati terdapat beberapa video seks membabitkan suspek bersama isteri-isterinya selain gambar mengaibkan wanita lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Difahamkan, lelaki terbabit direman selama empat hari sehingga Sabtu lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Mohd Iqbal turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mira Noraien Norashid di talian 011-1143 0765.