ROM: Kerajaan MADANI sanggup membuat keputusan yang keras dan kadangkala tidak popular bagi memastikan pembangunan serta projek yang memberi manfaat kepada rakyat boleh dilaksanakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang berada di Rom untuk lawatan kerja selama tiga hari, berkata meskipun terdapat kritikan terhadap langkah kerajaan melaksanakan dasar tertentu seperti rasionalisasi subsidi atau tarif, ia harus dilakukan demi manfaat kepada rakyat.
“Semua kerajaan dan semua perdana menteri sebelum ini menyatakan bahawa subsidi yang dinikmati oleh warga asing akan ditarik balik namun tiada siapa yang mengambil tindakan sewajarnya,” kata beliau pada Majlis Ramah Mesra Bersama Diaspora Malaysia, malam ini.
Perdana Menteri juga berkata pelbagai tindakan telah diambil oleh Kerajaan MADANI termasuk melaksanakan rasionalisasi subsidi dan cukai bagi membina lebih banyak sekolah, universiti serta hospital yang akan membantu rakyat.
Semasa majlis makan malam itu, Anwar turut berkongsi pelbagai program dan dasar yang sedang dilakukan oleh Kerajaan MADANI bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif.
“Kepada diaspora Malaysia di Itali, anda adalah duta dan aset kami. Anda mempunyai peranan yang besar untuk membawa negara ke platform antarabangsa.
“Justeru, saya titipkan pesan agar anda terus merebut setiap peluang dan ruang untuk memperkukuh ilmu, kemahiran dan jaringan demi menyumbang semula kepada tanah air serta tadbir urus yang baik,” katanya.
Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Zahid Rastam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.