“Menjadi Ketua Hakim Negara Bukan Impian Saya, Tapi Satu Penghormatan Besar”

PUTRAJAYA: Menjadi Ketua Hakim Negara bukanlah impian saya, namun ia adalah satu penghormatan besar.”

Demikian luahan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang secara rasmi menamatkan perkhidmatannya semalam selepas enam tahun menerajui institusi kehakiman tertinggi negara.

Dalam temu bual terakhirnya sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Tengku Maimun, yang juga wanita pertama memegang jawatan tersebut sejak dilantik pada 2 Mei 2019, menzahirkan rasa syukur atas segala yang telah dilalui sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Alhamdulillah, saya rasa Allah telah mempermudahkan segala urusan saya sepanjang tempoh ini.

“Tiada penyesalan langsung. Saya anggap ini satu rahmat dan saya sangat bersyukur dapat menjalani tempoh perkhidmatan ini dalam keadaan sihat,” katanya.

Ditanya mengenai penghakiman yang paling penting sepanjang kariernya, Tengku Maimun berkata keputusan yang menjadi tumpuan umum atau menimbulkan kritikan awam itulah yang paling signifikan baginya.

Namun, beliau dengan rendah hati enggan menonjolkan diri atas segala pencapaian sepanjang enam tahun memimpin badan kehakiman negara.

“Saya rasa tidak adil untuk saya memuji diri sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Menjawab soalan adakah beliau berasa sedih tempoh perkhidmatannya tidak disambung, Tengku Maimun dengan tenang menolak perasaan sedemikian.

“Tidak. Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi Ketua Hakim Negara, jadi apabila saya berada dalam posisi ini selama enam tahun dan telah melengkapkan tugas saya, itu sudah cukup bagi saya.

“Enam bulan tambahan tidak membawa perbezaan besar berbanding enam tahun perkhidmatan,” ujarnya lagi.

Tengku Maimun meninggalkan legasi yang bukan sahaja memecah tembok gender dalam institusi kehakiman, tetapi turut dikenang kerana integriti serta prinsipnya dalam menegakkan keadilan.

BBerkaitan

Latest articles