KUALA LUMPUR: Seorang guru silat ditahan selepas disyaki memeluk dan mencium murid perempuan berusia 12 tahun selepas mangsa menceritakan kejadian malang itu pada Ahad lalu.
Suspek berusia 35 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka petang semalam.
Menurut sumber, kesalahan amang seksual itu dipercayai berlaku semasa kejohanan silat terbuka peringkat kebangsaaan pada Februari lalu di dalam sebuah inap desa di hadapan pejabat pertubuhan berkenaan.
“Bagaimanapun kejadian hanya terbongkar pada Ahad lalu selepas mangsa menceritakannya kepada ibu dan bapa tirinya mengenai perbuatan guru silatnya yang pernah mencium dan memeluknya di sebuah inap desa di hadapan pejabat pertubuhan silat terbabit sewaktu kejohanan.
“Sebelum ini pada Mac lalu, suspek juga didakwa telah menghantar WhatsApp berbaur lucah kepada kanak-kanak berkenaan iaitu mahu tidur dengannya menyebabkan mangsa ketakutan dan merahsiakan hal itu,” katanya.
Menurutnya selepas kejadian Mac lalu, ibu bapa kanak-kanak berkenaan telah memberi amaran kepada guru silat berkenaan supaya menjauhi mangsa yang merupakan anak murid suspek sejak dia mengikuti latihan silat pada umur 10 tahun.
“Ibu bapa mangsa juga telah menukarkan anaknya itu mengikuti latihan silat di tempat lain bagi mengelak kejadian serupa berulang.
“Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah Ahad lalu,” katanya.
Suspek akan direman di Kompleks Mahkamah Alor Gajah hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.