Trump Umum Gencatan Senjata Antara Israel-Iran

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan satu gencatan senjata sepenuhnya antara Israel dan Iran, yang disifatkan sebagai langkah penting menamatkan konflik bersenjata antara dua musuh serantau itu.

Trump mengumumkan perkara tersebut menerusi kenyataan di laman Truth Social, menyifatkan perjanjian itu sebagai penamat kepada apa yang beliau gelar sebagai “Perang 12 Hari”.

“Dengan andaian segala-galanya berjalan lancar, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara atas keberanian dan ketahanan mereka dalam menamatkan perang ini,” katanya.

Pengumuman Trump hadir hanya beberapa minit selepas kedua-dua negara saling mengeluarkan ancaman serangan balas, mencetuskan kekeliruan mengenai status sebenar rundingan damai.

Menurut laporan CNN, seorang pegawai kanan Iran memaklumkan bahawa Tehran tidak menerima sebarang cadangan rasmi berhubung gencatan senjata, malah menyatakan mereka tidak melihat keperluan untuk perjanjian tersebut ketika ini.

Israel pula enggan mengulas lanjut, walaupun beberapa pegawai pertahanannya sebelum itu memberi isyarat bahawa kempen ketenteraan terhadap Iran mungkin akan ditamatkan tidak lama lagi.

Beberapa jam sebelum pengumuman Trump, Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Amerika di Qatar, sebagai tindakan balas terhadap serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear bawah tanah Iran hujung minggu lalu.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, Iran memberi notis awal mengenai serangan itu kepada pihak berkuasa Qatar dan saluran diplomatik AS sesuatu yang disifatkan Trump sebagai langkah “positif”.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Iran kerana memaklumkan lebih awal dan mengelakkan kehilangan nyawa. Ini mungkin satu permulaan kepada keamanan di rantau ini,” katanya.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam kenyataan balas berkata negara itu tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk pencerobohan, tetapi juga tidak akan mencetuskan perang.

“Kami tidak akan menyerang sesiapa, tetapi kami juga tidak akan menerima serangan ke atas tanah air kami. Ini pendirian rakyat Iran,” tegasnya.

Strategi Iran kali ini dilihat selari dengan pendekatan lamanya iaitu bertindak balas secara ketenteraan bagi menjaga maruah, namun berhati-hati agar tidak mencetuskan konflik jangka panjang yang boleh membebankan negara.

BBerkaitan

Latest articles