KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyifatkan tindakan membakar karikatur Perdana Menteri oleh segelintir mahasiswa sebagai keterlaluan dan tidak beradab.
Menurutnya, tindakan sedemikian tidak mencerminkan keberanian intelektual, sebaliknya merendahkan nilai perjuangan menentang rasuah yang sepatutnya berlandaskan prinsip, adab dan kebijaksanaan.
“Saya memahami dan turut berkongsi kekecewaan terhadap beberapa pendekatan kerajaan dalam menangani isu rasuah, khususnya kes berprofil tinggi membabitkan ahli politik, termasuk dari Sabah.
“Namun, perjuangan ini tidak seharusnya dicemari dengan tindakan ekstrem seperti membakar karikatur pemimpin. Ia bukan sahaja tidak membantu, malah memburukkan imej gerakan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa protes terhadap ketidakadilan perlu dilakukan dengan maruah dan adab, sejajar dengan semangat demokrasi yang matang.
Dzulkifli turut mengingatkan bahawa seperti ditegaskan Imam al-Ghazali, tujuan hukum dan siasah adalah untuk memperbaiki urusan dunia dan menjaga agama.
“Sewajarnya perjuangan membanteras rasuah membina kesedaran dan keinsafan, bukan mendorong tindakan yang menjejaskan maksud perjuangan itu,” katanya.
Sementara itu, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) turut mengecam tindakan membakar gambar karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilakukan semasa Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa, perhimpunan itu mendapat bantuan pihak tertentu daripada Parti Warisan, dan bertentangan dengan norma serta budaya masyarakat Sabah yang terkenal dengan sifat berbudi bahasa dan lemah lembut.
“Budaya membakar foto pemimpin negara adalah sesuatu yang mengejutkan rakyat Sabah secara keseluruhan,” katanya.
Zulkarnain menyeru rakyat Sabah agar menolak budaya ganas dan provokatif yang cuba diperkenalkan di negeri itu.
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim turut menyifatkan tindakan membakar karikatur Perdana Menteri sebagai biadab dan keterlaluan.
“Tindakan seperti ini tidak membantu menyampaikan mesej sebenar. Ia sekadar aksi provokasi yang gagal menjelaskan hujah dan penyelesaian kepada isu yang dibangkitkan,” katanya.